BERITA

KESERASIAN IMPORT BERI KEMENANGAN KEPADA PASUKAN

Oleh : Darren Teow

20 Februari 2015 – Ketua jurulatih PKNS FC, E Elavarasan menyifatkan keserasian pemain import di bahagian serangan menjadi faktor kemenangan PKNS FC ke atas pasukan Liga Super, Terengganu dalam aksi Pusingan Ketiga Super Best Power Piala FA di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Pemain import baharu, Matias Hadwa dan Juan Cobelli digandingkan buat pertama kali dalam kesebelasan utama setelah tidak dapat diturunkan sebelum ini kerana belum mendapat Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC).

Tewas dua kali sebelum ini, anak buah Elavarasan bermula baik walaupun hujan lebat mulai turun sebaik wisel permulaan ditiup dan Gabby Guerra banyak membuat larian yang merbahaya ke kawasan penalti Terengganu.

Dua rembatannya pada minit ke-11 dan ke-20 tersasar dan beliau juga berjaya membuat satu hantaran leret yang tidak dapat disudahi oleh Juan Cobelli.

Sementara itu, penjaga gol PKNS FC, G Jeevanathan yang diturunkan buat pertama kali banyak menyelamatkan keadaan dengan menepis rembatan dari luar kotak penalti oleh Morales dan juga rembatan jarak dekat oleh Norsharul.

Separuh masa kedua pula bermula dengan kedua pasukan banyak membuat serangan. PKNS FC berjaya memperolehi gol pertama pada minit ke-47 dengan Guerra sekali lagi membuat larian dan membuat satu hantaran kepada Matias Nicolas Hadwa yang berada di dalam kotak penalti dan memperdaya pertahanan Terengganu lalu menewaskan penjaga gol Sharbinee Allawee.

Tersentak dengan gol tersebut, Terengganu tidak mudah berputus asa dan mendapat gol penyamaan melalui Fakrurrazi yang mendapat hantaran dari Vincent Bikana.

Pada minit ke-73, Guerra sekali lagi menjadi duri dalam daging buat Terengganu apabila sepakan percumanya tepat ke kaki Soto untuk menjaringkan gol kedua PKNS FC.

Sepakan penalti yang disudahkan oleh Guerra pada minit terakhir perlawanan menambahkan lagi kekecewaan untuk Terengganu apabila Matias Nicolas Hadwa dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh penjaga gol Sharbinee.

Kemenangan ini merupakan suntikan moral buat PKNS FC untuk menghadapi perlawanan yang akan datang.


facebook

instagram

twitter