BERITA

PKNS FC RELAKAN RONALDINHO KE SELANGOR

Setelah menjadi topik hangat di akhbar dan internet, akhirnya PKNS FC mengesahkan serta bersetuju untuk melepaskan penyerang prolifik mereka, Patrick Ronaldinho Wleh kepada pasukan „abang? iaitu Selangor secara pinjaman selama setahun. Satu sesi ringkas diadakan hari ini sebagai simbolik penyertaan Ronaldinho ke Selangor dihadiri oleh Y.B. Tuan Amirudin Shari, Pengurus Pasukan Liga Super Selangor serta Hajah Siti Zubaidah Abd Jabar, Presiden PKNS FC.

Menurut Siti Zubaidah, perkara ini dipersetujui setelah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

“Kami lepaskan Ronaldinho demi pembangunan bola sepak Selangor. Walaupun beliau tidak lagi bersama pasukan, saya percaya ia tidak akan menjejaskan semangat dan fokus pemain-pemain lain untuk menghadapi saingan Liga Premier musim ini. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Ronaldinho dan semoga penyertaan ke Selangor dapat menjadikan beliau seorang pemain yang lebih baik serta dapat membantu Red Giants mencapai kejayaan yang lebih gemilang,” tambah Siti Zubaidah.

Siti Zubaidah turut menjelaskan PKNS FC dan FAS akan terus bekerjasama dalam pertukaran pemain di masa depan dan mendokong usaha-usaha pembangunan bakat baru bolasepak di negeri Selangor.

Untuk rekod, PKNS FC sebelum ini telah melepaskan pemain muda berbakat, Muhammad Nazmi Faiz Mansor serta Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham kepada Selangor.

Dalam perkembangan lain, Siti Zubaidah memaklumkan bahawa tiada persetujuan dicapai dengan syarikat kosmetik, Megah Perawan berkenaan dengan penajaan pasukan.

Perjumpaan pada 14 Januari lalu berkisar tentang potensi penajaan dengan syarikat tersebut.Hasil perbincangan, pihak pengurusan syarikat Megah Perawan memutuskan untuk menangguhkan dahulu penajaan di dalam industri sukan di atas sebab-sebab tertentu.

Kajian mendalam perlu dibuat supaya setiap penajaan yang disalurkan akan memberi pulangan yang setimpal dan situasi menang-menang kepada kedua-dua belah pihak.

PKNS FC mengucapkan terima kasih kepada Megah Perawan atas minat mereka dan membuka pintu rundingan buat mana-mana pihak yang ingin menaja.


facebook

instagram

twitter