BERITA

PKNS FC SASAR KEDUDUKAN TERBAIK DAN KEMBALI KE LIGA SUPER 2017

Setelah mengakhiri cabaran Liga Premier 2015 di kedudukan keempat, sekaligus menyaksikan PKNS FC terpaksa berputih mata untuk kembali ke saingan Liga Super, pihak pengurusan kelab mensasarkan kedudukan terbaik liga bagi memastikan untuk layak ke saingan elit bolasepak negara.

Menurut Presiden PKNS FC, Puan Hajah Siti Zubaidah Abd. Jabar, sasaran ini realistik kerana dengan pengalaman yang ada pada Ketua Jurulatih, E Elavarasan
serta adunan pemain lama dan baru mampu menharungi saingan yang lebih sengit pada musim ini.

“Kami sedar sasaran ini bukanlah satu perkara yang mudah berdasarkan kualiti yang ada pada pencabar-pencabar kejuaraan seperti Johor Darul Takzim II, Sabah, Negeri Sembilan, Perlis dan pasukan-pasukan lain.

“Namun begitu, kami tetap optimis untuk memberikan saingan menerusi adunan beberapa pemain berpengalaman seperti P.Gunalan, M.Sivakumar, Shahrul Azhar Ture serta pemain-pemain yang semakin meningkat naik seperti Khairu Azrin, Nazrin Syamsul dan Alif Haikal” jelas beliau.

Bagi musim ini, PKNS FC turut menerima kehadiran beberapa muka baru tempatan seperti Remezey Che Ros yang kembali bersama pasukan, Khairul Ramadan, Shakir Ali, Farid Ramli dan beberapa lagi pemain.

Ketiadaan penyerang import sensasi musim lalu, Patrick Ronaldinho Wleh yang dipinjamkan ke Selangor pastinya dirasai namun pengurusan pasukan yakin pemain import yang baru, Juan Manuel Cobelli dari Argentina serta pemain kebangsaan Palestin, Matias Jadue mampu mencipta persefahaman yang baik bersama dua lagi pemain import yang dikekalkan iaitu Gonzalo Manuel Soto dan Gabriel Miguel Guerra.

“PKNS FC tidak mempunyai pemain berstatus bintang namun saya percaya kemampuan pemain-pemain yang kita ada” kata Zubaidah.

“Apa yang saya lihat berdasarkan persiapan pasukan pada pra-musim, para pemain telah menunjukkan komitmen yang tinggi, berdisiplin, semangat berpasukan dan yang paling penting mereka bermain untuk menaikkan imej PKNS sendiri” tambahnya lagi.

PKNS FC juga turut mewarnai saingan Piala Presiden dalam usaha melaksanakan program pembangunan bolasepak dan melahirkan bakat-bakat baru. Malah, pengurusan turut menyediakan pasukan bagi saingan Liga FAS selain menyediakan peruntukan secukupnya untuk Akademi PKNS FC.

Sementara itu, ketua jurulatih, E.Elavarasan mahu anak-anak buahnya memastikan 3 mata pertama dalam pertemuan pertama menentang Kuala Lumpur.

“Perlawanan pertama amat penting bagi setiap pasukan dan saya yakin walaupun keputusan pra-musim tidak begitu menyebelahi kita, pasukan akan mula mencipta momentum bermula pada perlawanan pertama ini.

PKNS FC akan membuka kempen Liga Premier 2016 menentang Kuala Lumpur esok di Stadium Hang Jebat pada jam 9 malam.


facebook

instagram

twitter