BERITA

PKNS FC TAGIH KEBANGKITAN DALAM SAINGAN PIALA FA

Dua kekalahan berturut-turut kepada Kuala Lumpur dan Melaka United dalam saingan Liga Premier perlu dilupakan segera skuad The Red Ants.

Pada perlawanan pembukaan liga, PKNS FC tunduk 0-1 kepada Kuala Lumpur disusuli kekalahan 1-2 kepada Melaka United juga di venue yang sama, Stadium Hang Jebat.

Kekalahan tipis kepada kedua-dua pasukan tersebut menyebabkan skuad E.Elavarasan di tangga kesembilan liga tanpa sebarang mata sambil sekadar mencetak 1 gol dan bolos 3 jaringan.

Namun begitu, Elavarasan masih yakin pasukannya akan bangkit dan pertemuan menentang Terengganu dalam saingan Piala FA nanti akan menjadi titik kebangkitan anak-anak buahnya.

“Dari awal lagi saya sudah mengingatkan kepada pemain bahawa kempen liga musim ini akan berlangsung sengit dan mencabar.

“Saya masih optimis kami bangkit dan saya menaruh sepenuh kepercayaan kepada pemain untuk meningkatkan permainan mereka” katanya.

PKNS FC akan bertemu dengan pasukan Terengganu, Jumaat ini untuk pusingan kedua Piala FA di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Kali terakhir kedua-dua pasukan ini bertemu dalam aksi kompetetif adalah pada tahun 2014 dalam saingan Liga Super dengan Terengganu memenangi perlawanan di Kuala Terengganu menerusi kemenangan tipis 2-1.

Perlawanan di Stadium Shah Alam pula menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata hasil keputusan seri 2-2.


facebook

instagram

twitter