BERITA

THE RED ANTS SUDAH DAPAT RENTAK

Oleh : Rahmat Ali

27 Februari – Skuad PKNS FC berjaya memperolehi kemenangan pertama dalam Liga Premier yang dicari-cari apabila berjaya menumpaskan ATM dengan jaringan 2-0 di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam tadi.

Dengan menurunkan barisan terkuat dan kesemua pemain import, PKNS FC bermula perlahan dengan cubaan terbaik hadir pada minit ke-15 melalui tandukan pemain import dari Argentina, Juan Manuel Cobelli namun sedikit tersasar dari gawang gol lawan.

Selepas itu kedua-dua pasukan saling berbalas serangan tetapi tiada sebarang gol dihasilkan di babak pertama.

Menyedari kemenangan perlu dicari, skuad The Red Ants meningkatkan serangan di awal babak kedua di mana Juan Cobelli hampir memecah kebuntuan gol apabila tandukan beliau singgah di palang gol ATM.

Akhirnya gol yang dicari menjelma pada minit ke-65 melalui Juan Cobelli, hasil tandukan beliau setelah gagal dua kali sebelum ini.

Dalam memburu tambahan jaringan, PKNS FC membuat dua pertukaran pada minit ke-69 dan ke-71 dengan memasukkan Shahrul Azhar Ture dan S. Thinagaran bagi menggantikan Ahmad Shakir Md Ali dan Mohd Nazrin Shamsubahri.

Pertukaran taktikal itu membuahkan hasil apabila berjaya menambah gol pada minit ke-72 melalui pemain import dari Palestin, Matias Hadwa.

PKNS FC berpeluang menambah jaringan namun sepakan penalti Gabriel Maguel Guerra pada minit ke 85 berjaya ditepis keluar penjaga gol ATM, Mohammad Hafizuddin.

Dengan kemenangan ini, PKNS FC memperohi 3 mata penuh untuk menduduki tangga kesembilan Liga Premier selepas 3 perlawanan.

Anak buah E Elavarasan akan terus menetap di Melaka bagi pertemuan seterusnya menentang Sime Darby pada Isnin, 29 Februari di Stadium Hang Jebat.


facebook

instagram

twitter