BERITA

THE RED ANTS TIDAK PANIK

Ketua jurulatih, E.Elavarasan tidak panik dengan tiga kekalahan berturut-turut yang dialami PKNS FC dalam persiapan pra-musim menjelang saingan Liga Premier bulan depan.

The Red Ants tewas 3-5 kepada Pulau Pinang di Stadium Bandaraya sebelum dikalahkan Perak di Ipoh dengan keputusan 0-2. Sabtu lalu, anak-anak buah Elavarasan sekali lagi gagal meraih kemenangan selepas tewas 1-2 kepada Sarawak di Kelana Jaya.

“Dalam perlawanan pra-musim, keputusan adalah tidak penting kerana yang lebih mustahak adalah gaya permainan” jelas Elavarasan.

“Kami kehilangan ramai pemain musim ini dan dibarisi muka-muka baru jadi perlukan sedikit masa untuk membentuk keserasian.”

“Selepas 3 perlawanan ini, saya rasa pasukan telah berjaya meningkatkan tahap permainan mereka. Biar kalah ketika pra-musim agar kita tahu kelemahan yang ada sebelum sepak mula liga pada Februari nanti” tambahnya.

Mengulas mengenai prestasi Diego Diellos yang diuji bagi menggantikan tempat Patrick Ronaldinho yang berhijrah ke Selangor, Elavarasan setakat ini masih belum berpuashati dengan persembahan yang ditunjukkannya.

“Dia (Diego) baru sampai, mungkin masih terasa kepenatan untuk bermain perlawanan. Jadi tidak adil untuk menilai dalam waktu yang singkat.

“Saya akan gunakan perlawanan-perlawanan persahabatan pra-musim ini untuk mencari pemain import yang berkualiti. Kita akan lihat seminggu dua ini” katanya lagi.

PKNS FC akan melayan kunjungan pasukan dari Liga FAM, Air Asia All-Stars jam 8.45 malam ini di Komplek Sukan Kelana Jaya.


facebook

instagram

twitter