REMEZEY MAHU RAMPAS KEMBALI POSISI PENJAGA GOL UTAMA

Penjaga gol baharu PKNS FC, Mohd Remezey Che Ros bertekad merampas kembali posisi utama yang beliau tinggalkan pada awal musim 2015.

Remezey yang sebelum ini menjadi penjaga gol utama pasukan PKNS FC sehingga mendapat panggilan skuad kebangsaan berkelana ke pasukan Pulau Pinang selama satu musim.

Berterima kasih kepada PKNS FC yang sudi menerima kembali, Remezey bakal bersaing dengan G. Jeevanathan dan Mohd Nor Haziq untuk posisi penjaga gol utama.

“Tiada peluang untuk saya main-main dalam latihan dan saya perlu bekerja lebih keras untuk mendapatkan tempat,” kata Remezey.

Ditanya misi beliau untuk musim baru nanti, Remezey bertekad untuk bermain di kesemua perlawanan dan membawa pasukan PKNS FC ke saingan Liga Super musim berikutnya.

THE REDS ANT SEDIA BERDEPAN TERENGGANU

Undian Superbest Power Piala FA 2016 yang berlangsung Sabtu lalu di Shah Alam telah menyaksikan pasukan PKNS FC diundi menentang juara 2011, Terengganu.

Bagi Setiausaha PKNS FC, Md Adi Harmizi Ariffin, beliau menganggap Terengganu adalah pilihan dalam perlawanan tersebut sementara PKNS FC boleh dianggap sebagai pasukan underdog.

“Seperti yang kita lihat, undian tahun ini begitu terbuka. Tidak ada pasukan yang boleh mengelak untuk bertemu dengan pasukan yang lebih kuat.

“Pasukan Liga Super boleh bertemu sesama sendiri jadi kami anggap undian bertemu Terengganu adalah peluang untuk membuktikan keupayaan PKNS FC” katanya.

Adi bagaimanapun percaya PKNS FC mampu untuk melepasi halangan tersebut walaupun menyedari cabaran besar menanti mereka nanti.

“Bagi saya, peluang kedua-dua pasukan adalah 50-50. Namun saya yakin, jika para pemain mampu mengekalkan disiplin dan mengikut setiap arahan jurulatih, saya rasa tidak kami mampu menumpaskan Terengganu.

“Mengenai kelebihan bermain di gelanggang sendiri, saya tidak anggap ia sebagai satu kelebihan. Musim ini kami bermain di Stadium Hang Jebat, Melaka jadi saya rasa kedua-dua pasukan ada peluang tersendiri” jelasnya lagi.

PKNS FC diundi bertemu Terengganu dalam pusingan kedua yang akan dilangsungkan pada 19 Februari nanti di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Kemenangan pada perlawanan tersebut akan membawa PKNS FC melangkah ke peringkat seterusnya yang akan diundi semula seperti diterangkan oleh Football Malaysia LLP (FMLLP).

Dalam perkembangan berkaitan, The Reds Ant akan bertemu Sarawak untuk satu perlawanan ujian selepas tewas 3-5 kepada Pulau Pinang di Stadium Bandaraya pada Ahad lalu.

THE RED ANTS TIDAK PANIK

Ketua jurulatih, E.Elavarasan tidak panik dengan tiga kekalahan berturut-turut yang dialami PKNS FC dalam persiapan pra-musim menjelang saingan Liga Premier bulan depan.

The Red Ants tewas 3-5 kepada Pulau Pinang di Stadium Bandaraya sebelum dikalahkan Perak di Ipoh dengan keputusan 0-2. Sabtu lalu, anak-anak buah Elavarasan sekali lagi gagal meraih kemenangan selepas tewas 1-2 kepada Sarawak di Kelana Jaya.

“Dalam perlawanan pra-musim, keputusan adalah tidak penting kerana yang lebih mustahak adalah gaya permainan” jelas Elavarasan.

“Kami kehilangan ramai pemain musim ini dan dibarisi muka-muka baru jadi perlukan sedikit masa untuk membentuk keserasian.”

“Selepas 3 perlawanan ini, saya rasa pasukan telah berjaya meningkatkan tahap permainan mereka. Biar kalah ketika pra-musim agar kita tahu kelemahan yang ada sebelum sepak mula liga pada Februari nanti” tambahnya.

Mengulas mengenai prestasi Diego Diellos yang diuji bagi menggantikan tempat Patrick Ronaldinho yang berhijrah ke Selangor, Elavarasan setakat ini masih belum berpuashati dengan persembahan yang ditunjukkannya.

“Dia (Diego) baru sampai, mungkin masih terasa kepenatan untuk bermain perlawanan. Jadi tidak adil untuk menilai dalam waktu yang singkat.

“Saya akan gunakan perlawanan-perlawanan persahabatan pra-musim ini untuk mencari pemain import yang berkualiti. Kita akan lihat seminggu dua ini” katanya lagi.

PKNS FC akan melayan kunjungan pasukan dari Liga FAM, Air Asia All-Stars jam 8.45 malam ini di Komplek Sukan Kelana Jaya.

PKNS FC RELAKAN RONALDINHO KE SELANGOR

Setelah menjadi topik hangat di akhbar dan internet, akhirnya PKNS FC mengesahkan serta bersetuju untuk melepaskan penyerang prolifik mereka, Patrick Ronaldinho Wleh kepada pasukan „abang? iaitu Selangor secara pinjaman selama setahun. Satu sesi ringkas diadakan hari ini sebagai simbolik penyertaan Ronaldinho ke Selangor dihadiri oleh Y.B. Tuan Amirudin Shari, Pengurus Pasukan Liga Super Selangor serta Hajah Siti Zubaidah Abd Jabar, Presiden PKNS FC.

Menurut Siti Zubaidah, perkara ini dipersetujui setelah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

“Kami lepaskan Ronaldinho demi pembangunan bola sepak Selangor. Walaupun beliau tidak lagi bersama pasukan, saya percaya ia tidak akan menjejaskan semangat dan fokus pemain-pemain lain untuk menghadapi saingan Liga Premier musim ini. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Ronaldinho dan semoga penyertaan ke Selangor dapat menjadikan beliau seorang pemain yang lebih baik serta dapat membantu Red Giants mencapai kejayaan yang lebih gemilang,” tambah Siti Zubaidah.

Siti Zubaidah turut menjelaskan PKNS FC dan FAS akan terus bekerjasama dalam pertukaran pemain di masa depan dan mendokong usaha-usaha pembangunan bakat baru bolasepak di negeri Selangor.

Untuk rekod, PKNS FC sebelum ini telah melepaskan pemain muda berbakat, Muhammad Nazmi Faiz Mansor serta Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham kepada Selangor.

Dalam perkembangan lain, Siti Zubaidah memaklumkan bahawa tiada persetujuan dicapai dengan syarikat kosmetik, Megah Perawan berkenaan dengan penajaan pasukan.

Perjumpaan pada 14 Januari lalu berkisar tentang potensi penajaan dengan syarikat tersebut.Hasil perbincangan, pihak pengurusan syarikat Megah Perawan memutuskan untuk menangguhkan dahulu penajaan di dalam industri sukan di atas sebab-sebab tertentu.

Kajian mendalam perlu dibuat supaya setiap penajaan yang disalurkan akan memberi pulangan yang setimpal dan situasi menang-menang kepada kedua-dua belah pihak.

PKNS FC mengucapkan terima kasih kepada Megah Perawan atas minat mereka dan membuka pintu rundingan buat mana-mana pihak yang ingin menaja.

PKNS FC SASAR KEDUDUKAN TERBAIK DAN KEMBALI KE LIGA SUPER 2017

Setelah mengakhiri cabaran Liga Premier 2015 di kedudukan keempat, sekaligus menyaksikan PKNS FC terpaksa berputih mata untuk kembali ke saingan Liga Super, pihak pengurusan kelab mensasarkan kedudukan terbaik liga bagi memastikan untuk layak ke saingan elit bolasepak negara.

Menurut Presiden PKNS FC, Puan Hajah Siti Zubaidah Abd. Jabar, sasaran ini realistik kerana dengan pengalaman yang ada pada Ketua Jurulatih, E Elavarasan
serta adunan pemain lama dan baru mampu menharungi saingan yang lebih sengit pada musim ini.

“Kami sedar sasaran ini bukanlah satu perkara yang mudah berdasarkan kualiti yang ada pada pencabar-pencabar kejuaraan seperti Johor Darul Takzim II, Sabah, Negeri Sembilan, Perlis dan pasukan-pasukan lain.

“Namun begitu, kami tetap optimis untuk memberikan saingan menerusi adunan beberapa pemain berpengalaman seperti P.Gunalan, M.Sivakumar, Shahrul Azhar Ture serta pemain-pemain yang semakin meningkat naik seperti Khairu Azrin, Nazrin Syamsul dan Alif Haikal” jelas beliau.

Bagi musim ini, PKNS FC turut menerima kehadiran beberapa muka baru tempatan seperti Remezey Che Ros yang kembali bersama pasukan, Khairul Ramadan, Shakir Ali, Farid Ramli dan beberapa lagi pemain.

Ketiadaan penyerang import sensasi musim lalu, Patrick Ronaldinho Wleh yang dipinjamkan ke Selangor pastinya dirasai namun pengurusan pasukan yakin pemain import yang baru, Juan Manuel Cobelli dari Argentina serta pemain kebangsaan Palestin, Matias Jadue mampu mencipta persefahaman yang baik bersama dua lagi pemain import yang dikekalkan iaitu Gonzalo Manuel Soto dan Gabriel Miguel Guerra.

“PKNS FC tidak mempunyai pemain berstatus bintang namun saya percaya kemampuan pemain-pemain yang kita ada” kata Zubaidah.

“Apa yang saya lihat berdasarkan persiapan pasukan pada pra-musim, para pemain telah menunjukkan komitmen yang tinggi, berdisiplin, semangat berpasukan dan yang paling penting mereka bermain untuk menaikkan imej PKNS sendiri” tambahnya lagi.

PKNS FC juga turut mewarnai saingan Piala Presiden dalam usaha melaksanakan program pembangunan bolasepak dan melahirkan bakat-bakat baru. Malah, pengurusan turut menyediakan pasukan bagi saingan Liga FAS selain menyediakan peruntukan secukupnya untuk Akademi PKNS FC.

Sementara itu, ketua jurulatih, E.Elavarasan mahu anak-anak buahnya memastikan 3 mata pertama dalam pertemuan pertama menentang Kuala Lumpur.

“Perlawanan pertama amat penting bagi setiap pasukan dan saya yakin walaupun keputusan pra-musim tidak begitu menyebelahi kita, pasukan akan mula mencipta momentum bermula pada perlawanan pertama ini.

PKNS FC akan membuka kempen Liga Premier 2016 menentang Kuala Lumpur esok di Stadium Hang Jebat pada jam 9 malam.

PKNS FC TAGIH KEBANGKITAN DALAM SAINGAN PIALA FA

Dua kekalahan berturut-turut kepada Kuala Lumpur dan Melaka United dalam saingan Liga Premier perlu dilupakan segera skuad The Red Ants.

Pada perlawanan pembukaan liga, PKNS FC tunduk 0-1 kepada Kuala Lumpur disusuli kekalahan 1-2 kepada Melaka United juga di venue yang sama, Stadium Hang Jebat.

Kekalahan tipis kepada kedua-dua pasukan tersebut menyebabkan skuad E.Elavarasan di tangga kesembilan liga tanpa sebarang mata sambil sekadar mencetak 1 gol dan bolos 3 jaringan.

Namun begitu, Elavarasan masih yakin pasukannya akan bangkit dan pertemuan menentang Terengganu dalam saingan Piala FA nanti akan menjadi titik kebangkitan anak-anak buahnya.

“Dari awal lagi saya sudah mengingatkan kepada pemain bahawa kempen liga musim ini akan berlangsung sengit dan mencabar.

“Saya masih optimis kami bangkit dan saya menaruh sepenuh kepercayaan kepada pemain untuk meningkatkan permainan mereka” katanya.

PKNS FC akan bertemu dengan pasukan Terengganu, Jumaat ini untuk pusingan kedua Piala FA di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Kali terakhir kedua-dua pasukan ini bertemu dalam aksi kompetetif adalah pada tahun 2014 dalam saingan Liga Super dengan Terengganu memenangi perlawanan di Kuala Terengganu menerusi kemenangan tipis 2-1.

Perlawanan di Stadium Shah Alam pula menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata hasil keputusan seri 2-2.

WASPADA ANCAMAN TERENGGANU

Kesempatan beraksi di halaman sendiri perlu digunakan sepenuhnya skuad The Red Ants dalam menghadapi Terengganu untuk pusingan kedua Piala FA, malam ini.

Selepas tewas dua perlawanan awal dalam saingan liga kepada Kuala Lumpur dan Melaka United, pertemuan dengan pasukan Liga Super ini pastinya mahu dijadikan titik kebangkitan buat E.Elarasan serta anak-anak buah.

Elavarasan yang pernah membimbing Terengganu pada 2013 pastinya mengetahui selok belok bekas pasukannya itu yang menyaksikan beliau akan berhadapan dengan beberapa muka yang pernah berada dibawahnya sebelum ini.

Terengganu juga tidak berada dalam prestasi yang boleh dikira memuaskan. Sekadar menang tipis 1-0 kepada Pulau Pinang sebelum tewas 0-1 kepada Kedah di Alor Star, kecederaan beberapa pemain utama mereka juga turut merisaukan pengendali pasukan, Ahmad Yusof.

Di kem PKNS FC pula, barisan pertahanan perlu dimantapkan selepas menyaksikan gawang gol kerap dibolosi pada separuh masa kedua permainan.

“Saya mahu benteng pertahanan memperkemaskan permainan mereka dan kekal fokus sepanjang perlawanan untuk mengelakkan gawang dibolosi di saat kita sedang menguasai perlawanan.

“Kali ini kita bertemu dengan Terengganu yang mempunyai jentera serangan cukup berkualiti. Makanya, fokus pemain sangat ditagih untuk pertemuan ini nanti” kata Elavarasan.

Satu perkara positif yang boleh diambil berdasarkan dua perlawanan yang lalu ialah bagaimana pemain-pemain import sudah mula dapat menyesuaikan permainan.

Juan Manuel Cobelli berjaya menyumbat gol pertamanya pada perlawanan menentang Melaka sementara Matias Hadwa yang diturunkan pada babak kedua berjaya merencanakan beberapak pergerakan menarik.

Hadwa kebarangkalian besar akan diturunkan seawal minit pertama pada pertemuan menentang Terengganu nanti ini sudah pasti memberikan tonik tambahan buat Elavarasan.

Tahun lalu, kempen Piala FA skuad The Red Ants tersekat seawal pusingan pertama selepas ditunddukan JDT II dengan keputusan 1-2. Perlawanan PKNS FC menentang Terengganu pada malam ini akan dilangsungkan di Stadium Hang Jebat, Melaka bermula jam 9 malam.

KESERASIAN IMPORT BERI KEMENANGAN KEPADA PASUKAN

Oleh : Darren Teow

20 Februari 2015 – Ketua jurulatih PKNS FC, E Elavarasan menyifatkan keserasian pemain import di bahagian serangan menjadi faktor kemenangan PKNS FC ke atas pasukan Liga Super, Terengganu dalam aksi Pusingan Ketiga Super Best Power Piala FA di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Pemain import baharu, Matias Hadwa dan Juan Cobelli digandingkan buat pertama kali dalam kesebelasan utama setelah tidak dapat diturunkan sebelum ini kerana belum mendapat Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC).

Tewas dua kali sebelum ini, anak buah Elavarasan bermula baik walaupun hujan lebat mulai turun sebaik wisel permulaan ditiup dan Gabby Guerra banyak membuat larian yang merbahaya ke kawasan penalti Terengganu.

Dua rembatannya pada minit ke-11 dan ke-20 tersasar dan beliau juga berjaya membuat satu hantaran leret yang tidak dapat disudahi oleh Juan Cobelli.

Sementara itu, penjaga gol PKNS FC, G Jeevanathan yang diturunkan buat pertama kali banyak menyelamatkan keadaan dengan menepis rembatan dari luar kotak penalti oleh Morales dan juga rembatan jarak dekat oleh Norsharul.

Separuh masa kedua pula bermula dengan kedua pasukan banyak membuat serangan. PKNS FC berjaya memperolehi gol pertama pada minit ke-47 dengan Guerra sekali lagi membuat larian dan membuat satu hantaran kepada Matias Nicolas Hadwa yang berada di dalam kotak penalti dan memperdaya pertahanan Terengganu lalu menewaskan penjaga gol Sharbinee Allawee.

Tersentak dengan gol tersebut, Terengganu tidak mudah berputus asa dan mendapat gol penyamaan melalui Fakrurrazi yang mendapat hantaran dari Vincent Bikana.

Pada minit ke-73, Guerra sekali lagi menjadi duri dalam daging buat Terengganu apabila sepakan percumanya tepat ke kaki Soto untuk menjaringkan gol kedua PKNS FC.

Sepakan penalti yang disudahkan oleh Guerra pada minit terakhir perlawanan menambahkan lagi kekecewaan untuk Terengganu apabila Matias Nicolas Hadwa dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh penjaga gol Sharbinee.

Kemenangan ini merupakan suntikan moral buat PKNS FC untuk menghadapi perlawanan yang akan datang.

THE RED ANTS SUDAH DAPAT RENTAK

Oleh : Rahmat Ali

27 Februari – Skuad PKNS FC berjaya memperolehi kemenangan pertama dalam Liga Premier yang dicari-cari apabila berjaya menumpaskan ATM dengan jaringan 2-0 di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam tadi.

Dengan menurunkan barisan terkuat dan kesemua pemain import, PKNS FC bermula perlahan dengan cubaan terbaik hadir pada minit ke-15 melalui tandukan pemain import dari Argentina, Juan Manuel Cobelli namun sedikit tersasar dari gawang gol lawan.

Selepas itu kedua-dua pasukan saling berbalas serangan tetapi tiada sebarang gol dihasilkan di babak pertama.

Menyedari kemenangan perlu dicari, skuad The Red Ants meningkatkan serangan di awal babak kedua di mana Juan Cobelli hampir memecah kebuntuan gol apabila tandukan beliau singgah di palang gol ATM.

Akhirnya gol yang dicari menjelma pada minit ke-65 melalui Juan Cobelli, hasil tandukan beliau setelah gagal dua kali sebelum ini.

Dalam memburu tambahan jaringan, PKNS FC membuat dua pertukaran pada minit ke-69 dan ke-71 dengan memasukkan Shahrul Azhar Ture dan S. Thinagaran bagi menggantikan Ahmad Shakir Md Ali dan Mohd Nazrin Shamsubahri.

Pertukaran taktikal itu membuahkan hasil apabila berjaya menambah gol pada minit ke-72 melalui pemain import dari Palestin, Matias Hadwa.

PKNS FC berpeluang menambah jaringan namun sepakan penalti Gabriel Maguel Guerra pada minit ke 85 berjaya ditepis keluar penjaga gol ATM, Mohammad Hafizuddin.

Dengan kemenangan ini, PKNS FC memperohi 3 mata penuh untuk menduduki tangga kesembilan Liga Premier selepas 3 perlawanan.

Anak buah E Elavarasan akan terus menetap di Melaka bagi pertemuan seterusnya menentang Sime Darby pada Isnin, 29 Februari di Stadium Hang Jebat.